Sains dan Islam?
i have read a book and still reading it...the book is about Islam and Sciece,which according to the author; somehow is not related..i dun't know how he'd think or do his research but this article proved that he's not correct...
Wardah Mazman - Sains dekatkan diri kita dengan Allah
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
SAMA ada benar atau tidak, genius sains terkemuka, Albert Einstein pernah berkata, bahawa beliau percaya mengenai kewujudan Allah yang menyebabkan Einstein tidak dapat menerima mana-mana teori dan penemuan sains jika ahli sains itu tidak menyatakan dahulu pegangan agamanya.
``Ini kerana sains tanpa agama adalah lame (pincang),'' katanya.
Namun percayalah, Einstein layak berkata demikian setelah tokoh itu mendapati umat Islam pada suatu zaman begitu menjuarai pelbagai bidang sains, kesan daripada iktikad dan kepercayaan mereka terhadap Allah.
Graduan dari Universiti Malaya (UM), Wardah Mazman, 23 berkata, kebenaran kata Einstein itu sangat menyedarkan beliau kerana sains tanpa agama hanya akan menghasilkan kerosakan, pembunuhan dan kemusnahan di muka bumi ini.
``Mungkin Einstein sedar, apabila Islam menguasai sains yang mereka tinggalkan hanyalah kebaikan, kemakmuran, kemanusiaan dan bumi yang selamat untuk didiami,'' katanya.
Ini menyebabkan Wardah menganggap dirinya insan kerdil yang sangat bertuah kerana berpeluang mengikuti pengajian Polisi Sains dan Teknologi di Jabatan Sains, UM yang begitu mendedahkan peranan dan falsafah agama dalam bidang yang malangnya hari ini dianggap asing oleh umat Islam sendiri.
``Walaupun saya tidak melakukan sebarang eksperimen sains atau bermain dengan radas ujikaji kerana lebih kepada mendalami teori mengenai sains, namun saya percaya sains memberikan kita peluang yang paling menakjubkan untuk mengenali Allah dengan lebih dekat,'' katanya.
Penemuan
Sebelum ini umat Islam kata Wardah hanya sekadar membaca al-Quran, tetapi apabila manusia dapat mengaitkan kalam-kalam Allah itu dengan penemuan-penemuan saintis yang terdahulu dan kini, menyebabkan mereka akan merasa lebih takjub betapa semuanya sudah tercatat jelas dalam al-Quran.
``Saintis tidak mendahului, sekali gus tidak boleh mendabik dada dengan kejayaan penyelidikan mereka kerana penemuan mereka itu hanya untuk membuktikan lagi kebenaran akan kekuasaan Allah.
``Maka segala pujian hanya Allah yang berhak menerimanya,'' ujarnya lagi.
Ini apabila kita memperkatakan mengenai prinsip asas atau konsep fizik misalnya, yang sebelum ini kononnya dipengaruhi daripada orang Yunani.
Namun sebenarnya kata Wardah, ia diperoleh dan digarap daripada mafhum ayat-ayat al-Quran.
``Tidak luput daripada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah (atom) di bumi ataupun di langit. Tidak pula yang lebih kecil dan tidak yang lebih besar daripada itu melainkan (semua tercatat ) dalam kitab yang nyata (Loh Mahfuz)'' ( Yunus: 61)
Ini memberikan beliau kesedaran yang tinggi dan perasaan ingin tahu yang meluap-luap, menyebabkan beliau sedikit pun tidak mensia-siakan peluang sepanjang pengajiannya di UM itu.
Hasilnya, Wardah berjaya menamatkan pengajiannya dan memperoleh Kelas Pertama Sarjana Muda Sains dengan penilaian purata gred 3.78.
Satu pencapaian yang begitu memberangsangkan terutama membabitkan anak Melayu sehingga beliau antara penerima Anugerah Pingat Emas daripada Pergerakan Wanita Umno yang diserahkan sendiri oleh ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
``Saya tidak nafikan mempunyai matlamat tidak mahu sekadar lulus, namun ia bukanlah segala-galanya berbanding kurniaan setitis daripada selautan ilmu Allah,'' katanya.
Namun Wardah tidak mahu digambarkan sebagai seorang pelajar yang terasing dengan dunianya sendiri.
``Nanti orang ingat saya penghuni setia perpustakaan, apatah lagi langsung tidak berenggang dengan buku.
Membaca
``Walaupun tidak dinafikan saya suka dan banyak membaca tapi saya masih mempunyai masa untuk diri saya sendiri seperti rakan pelajar dan sebaya yang lain,'' katanya.
Ini termasuklah melakukan kerja-kerja sukarela merupakan antara cara lain bagi Wardah menghabiskan masa, terutama untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik.
``Semuanya bermula apabila untuk memenuhi keperluan ko kurikulum yang menghendaki kami pergi melawat anak-anak kurang upaya, rupa-rupanya anak-anak ini merupakan satu lagi pengalaman yang banyak merubah sudut pandangan dan sikap saya selama ini,'' katanya.
Wardah berkongsi pengalamannya bertemu seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pusat yang dilaporkan mengalami kecacatan mental dan fizikal angkara perbuatan tidak berperi kemanusiaan ibu bapanya sendiri.
``Tisha (bukan nama sebenar) sebenarnya tidak dilahirkan cacat, beliau sempurna tetapi ibu bapanya sanggup merantainya selama tujuh tahun dan dikurung di dalam sebuah bilik yang gelap tanpa diketahui sebab musabab Tisha diperlakukan begitu.
``Kesannya, ikatan itu menyebabkan kaki Tisha lemah dan lumpuh, dan tentunya beliau juga mengalami masalah psikologi akibat dikurung. Tisha akan ketakutan setiap kali melihat orang yang tidak dikenali, malah Tisha menganggap semua orang seperti musuh yang akan menyakitinya,'' cerita Wardah.
Wardah juga begitu terharu apabila berkenalan dengan seorang lagi kanak-kanak yang menyimpan seribu satu lagi kisah duka.
``Saya begitu terkejut apabila mendapati kanak-kanak yang buta itu diperalatkan oleh ibu bapanya sendiri dengan meminta sedekah daripada orang ramai.
``Mereka dengan sengaja mencari jalan mudah untuk mencari kesenangan dengan memperalatkan anaknya sendiri, sedangkan hati budak itu celik dan otaknya cerdik sekalipun matanya buta,'' katanya.
Wardah kini sedang menunggu untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di UM dalam bidang yang sama, Sains dan Teknologi.
``Kalau orang lain mungkin nak beralih angin dengan mencuba bidang lain tetapi saya tetap bidang yang serupa kerana saya ingin mengetahui lebih lagi dalam bidang ini,'' katanya.
Kakak sulung kepada Natrah, 20 (pelajar undang-undang di UiTM), Balkis, 14 dan Raudhah, 10, daripada pasangan suami isteri, Mazman Nordin dan Ramlah Md. Yusof, sebenarnya seorang periang dan gemar menghabiskan masa dengan menulis dan mengembara.
Mengapa menulis?
``Saya suka orang lain juga tahu apa yang saya tahu, supaya ilmu itu berkembang kerana setiap hari ada sahaja yang baru mengenai sains dan teknologi, yang diharapkan perkembangan itu dapat membantu manusia meningkatkan taraf kehidupan mereka ke tahap yang lebih mulia,''katanya.
Ini tidak menghairankan kerana Wardah mempunyai ibu saudara, Mazlin Nordin, seorang wartawan penyiaran terkenal yang dijadikan sumber inspirasinya.
``Saya gemar mengunjungi Pulau Pinang kerana negeri itu mempunyai banyak bahan dan kesan sejarah. Lagi pun terdapat banyak pilihan makanan dan bagusnya, harganya murah!'' ujarnya sambil ketawa.
dipetik dari:wwww.utusan.com.my