Malaysia perlukan rakyat berilmu tinggi IT untuk bersaing negara maju
BANGALORE 23 Dis. - Malaysia tidak mempunyai pilihan kecuali mempunyai rakyat yang berilmu dan berkebolehan tinggi dalam semua bidang terutamanya teknologi maklumat (IT) dan bioteknologi sekiranya mahu bersaing dengan negara-negara maju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, berbekalkan ilmu sebagai modal, selain daya saing yang tinggi, ``negara besar dan kecil tidak menjadi masalah pada kita.''
Sehubungan itu, beliau menegaskan sekali lagi, Malaysia menolak dan tidak menganggap China dan India - dua gergasi ekonomi baru - sebagai ancaman.
Malah, beliau melihat, kedua-dua negara itu memberi peluang baru kepada Malaysia untuk meluaskan lagi kerjasama dagangan bagi faedah bersama.
``Kita perlu gunakan ilmu dan kebolehan terbaik untuk menghasilkan yang terbaik dan bersaing dengan yang terbaik, barulah kita boleh memperoleh kemenangan dan kejayaan.
``Kalau kita hendak mencapai kemajuan, kita perlu bersaing, negara besar atau kecil. Kita tidak ada pilihan. Kita kena siap sedia dengan ilmu dan kebolehan daya saing yang tinggi,'' kata Perdana Menteri.
Abdullah menegaskan demikian pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di Hotel Windsor Sheraton dan Towers di sini pada hari terakhir lawatan empat harinya ke India, bermula Isnin lalu.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau selaku Perdana Menteri ke India yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi kerjasama serta hubungan perdagangan dan ekonomi kedua-dua negara.
Sambil menyifatkan lawatannya sebagai berjaya mencapai matlamat tersebut, beliau berkata, pembangunan manusia dan ilmu sangat penting untuk mencapai kemajuan dalam bidang sains teknologi dan IT.
Oleh itu, katanya, beliau memberi tumpuan pada bidang bioteknologi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dilihat sebagai pemacu kepada pembangunan dunia moden.
Beliau mengambil contoh, Infosys - syarikat IT India, muncul antara syarikat terbaik dunia dengan menggunakan `ilmu sebagai modal.'
``Perkara ini boleh dilakukan di Malaysia. Sebab itu kita perlu mempunyai tenaga kerja yang terlatih dan terbaik dalam semua peringkat,'' katanya lagi.
Beliau berkata, lawatannya ke bandar teknologi ini adalah untuk menimba pengalaman daripada syarikat-syarikat mereka yang telah mencapai kejayaan pesat di bidang IT dalam masa yang singkat.
Sebagai tindakan susulan, kata Abdullah, pekerja Malaysia akan dihantar ke India untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan - bioteknologi dan ICT - dan berkongsi pengalaman untuk manfaat bersama.
Beliau berkata, India juga berminat untuk mengadakan usaha sama dengan
Petronas. - Utusan.
*siapa kata IT tak laku?